Anugerah Khidmat Cemerlang – Pembohongan Terancang?

Julai 12, 2007

KENYATAAN MB Selangor,  Mohd Khir Toyo, pada.9 Julai 2007 bahawa pemberian Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) di kalangan kakitangan awam adalah satu pembohongan terancang telah mengejutkan banyak pihak. Khususnya, dua pemimpin kakitangan awam iaitu Tan  Sri Ismail (Ketua Pengarah JPA) dan Omar Osman (Presiden CEUPAC) tentulah merasa tercabar dengan dakwaan tersebut. Mereka dengan serta merta telah membuat kenyataan balas sebagai reaksi menafikan perkara tersebut. 

Mohd Khir mempunyai alasan sendiri untuk mendakwa sedemikian. Menurut beliau, amalan pemberian AKC tidak berdasarkan prestasi sebenar tetapi dengan cara mengikut giliran supaya semua kakitangan dapat merasa. Ianya juga berasaskan kenyataan PM, Abdullah Ahmad Badawi, bahawa sistem penyampaian perkhidmatan awam masih berada pada tahap yang rendah.

Kenyataan tersebut adalah umum, namun pada hakikatnya ada kebenaran. Sekiranya begitu ramai yang telah mendapat AKC, masakan kualiti perkhidmatan awam pada hari ini masih di takuk lama, sedangkan implementasi anugerah ini telah berjalan lebih 10 tahun.  

AKC adalah satu insentif kerajaan sebagai motivasi kepada kakitangan awam yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan menggalakkan kakitangan lain untuk mencapai tahap sedemikian. Sistem yang mempunyai garis panduan, kriteria dan prosedur ini adalah baik. Bagaimana pun, kaedah perlaksanaan oleh mereka yang bertanggungjawab dan pemantauan oleh pihak atasan itulah yang menjadikanya tidak berkesan. Ketua-ketua jabatan dan sub-unit yang diberi amanah melaksanakan penilaian bagi menentukan kakitangan yang layak menerima anugerah tersebut mestilah mematuhi serta memenuhi hasrat kerajaan dalam melaksanakan AKC. Mereka tidak patut membuat sistem sendiri dalam mencalonkan penerima yang layak.  

Reaksi yang biasa diperolehi apabila mempersoalkan kelemahan amalan penilaian bagi pencalonan AKC ialah ianya dibuat bukan mengikut kecemerlangan kerja, sebaliknya terdapat ciri-ciri pengukuran yang sempit serta unsur-unsur prajudis, antaranya seperti: 

  • Keutamaan senioriti – Kakitangan yang telah lama berkhidmat diberi keutamaan. Secemerlang mana pun kakitangan baru  tidak akan diambilkira selagi masa belum sampai.    
  • Pilih kasih – Bos (penilai) memilih kakitangan yang menjadi favourite kerana selalu membuat kerjanya (sesetengahnya kerja peribadi), persahabatan yang rapat atau ada hubungan persaudaraan. Kesannya, maka terdapatlah kakitangan yang sama kerap mendapat anugerah. 
  • Ada kuota – Setiap sub-unit jabatan (seksyen / bahagian) telah ditetapkan dari awal lagi bilangan / kouta bagi calon yang akan diberi anugerah. Kuota ditetapkan berkadar dengan bilangan staff. Maka setiap tahun sudah diketahui dari awal berapa ramai kakitangan yang cemerlang dan setiap tahun juga mesti ada sekian ramai kakitangan dari satu-satu seksyen / bahagian yang cemerlang, walaupun proses penilaian belum dibuat. 
  • Ikut giliran – Pemilihan dibuat mengikut giliran supaya semua kakitangan akhirnya berpeluang merasa anugerah. Semasa sesi pencalonan, senarai kakitangan yang belum pernah menerima anugerah akan dirujuk supaya mudah memilih calon atau menentukan giliran.  

Melalui pengamalan sedemikian, berbagai implikasi kurang sihat yang membataskan pencapaian prestasi boleh terjadi. Sesetengah kakitangan yang memang cemerlang boleh menjadi sebaliknya kerana demotivated, sesetengah kakitangan pula bersikap tidak perlu bekerja dengan cemerlang kerana anugerah akan diterima juga bila sampai giliran.  

Apa yang penting dalam perlaksanaan AKC ini ialah kaedah pemilihan yang bertepatan dalam menentukan penerima anugerah. Cemerlang adalah suatu nilai dan ianya berkait dengan kemampuan melaksanakan tugas, kepentingan kerja yang dilakukan, kualiti produk yang dihasilkan dan authenticity dalam pekerjaan oleh seseorang kakitangan. Untuk menilai ‘cemerlang’, ianya memerlukan ketelusan, kejujuran dan keadilan.   

SESUNGGUHNYA, objektif kepada satu sistem yang baik seperti AKC ini hanya dapat dicapai melalui proses perlaksanaan dan pemantauan yang efektif.

Advertisements

Harga Rokok & Reaksi Perokok

Julai 9, 2007

Kerajaan telah menaikkan duti eksais ke atas rokok sebanyak 3 sen lagi (kepada 15 sen) berkuatkuasa pada 2 Julai 2007 yang lalu. Selaras dengan tindakan tersebut, pengeluar rokok turut menaikkan harga rokok keluaran mereka. Pada 5 Julai, para perokok mula membayar dengan harga baru yang lebih tinggi bagi memperolehi bekalan rokok mereka. Kenaikan kali ini menyaksikan terdapat jenama biasa yang telah melepasi RM 9.00 bagi kotak 20 batang.

Soal kenaikan harga rokok ini bukan perkara baru kerana ianya telah berulang saban tahun. Bagi kerajaan, objektif menaikkan harga rokok sama saja, iaitu untuk mengurangkan bilangan perokok dan juga sebab kesihatan. Pada kali ini dihighlight pula dengan objektif untuk menghalang perokok baru khususnya kalangan generasi muda seperti pelajar sekolah yang dikatakan semakin ramai merokok. Dengan harga rokok yang mahal, diharapkan perokok akan berhenti (atau kurangkan) merokok, dan bagi pendatang baru mereka akan membatalkan hasrat untuk merokok.

Namun begitu, sejak bertahun-tahun bila harga rokok direvised semakin tinggi, disamping berbagai tindakan lain dan kempen yang dijalankan seperti larangan merokok di tempat awam dan kempen ‘tak nak merokok’, setakat manakah objektif kerajaan telah dapat dicapai?

Pada setiap kali kenaikan harga rokok, berbagai reaksi orang awam – pro dan kontra – dapat didengar. Di kalangan perokok, ramai yang mengaku akan terus merokok walau pun harga semakin mahal, ada yang akan mengurangkan bilangan rokok yang dihisap dan ada yang memberitahu akan bertukar kepada brand yang lebih murah. Sedikit sekali yang berazam akan berhenti merokok disebabkan kenaikan harga tersebut. 

Sebenarnya tidak mudah bagi perokok tegar untuk berhenti merokok. Bagi mereka merokok itu bukanlah penyakit ketagihan yang terlalu buruk seperti menghisap ganja dan mengambil dadah, tetapi semacam kemahuan dan keselesaan yang melengkapkan keadaan – – – merokok dapat  mengurangkan stress dan pada situasi tertentu membantu dalam menghasilkan ilham. Tanpa mengambilkira kesan mengenai berbagai kemungkinan penyakit, mereka merasakan suatu keadaan yang tidak lengkap tanpa merokok. 

Dari sudut ekonomi, perokok tegar biasanya tidak akan berkira sangat dalam berbelanja untuk mendapatkan bekalan rokok mereka walaupun harga dinaikkan. Mereka akan tetap memperuntukkan bajet untuk bekalan rokok mereka kerana ianya telah dianggap sebagai keperluan. Tetapi, bagi kerajaan, menaikkan duti eksais (menyebabkan harga rokok naik) merupakan satu punca untuk meningkatkan sedikit pendapatan negara.

 Walau apa pun objektifnya, pihak kerajaan perlulah mengawal harga rokok supaya berada pada tahap yang sewajarnya. Sungguh pun harga rokok yang murah mungkin mengekalkan perokok tegar dan menggalakkan perokok baru, tetapi harga rokok yang terlalu mahal pula mungkin  membawa kepada gejala-geala sosial yang lain, antaranya seperti peningkatan demand terhadap rokok ‘haram’ yang seterusnya menggalakkan aktiviti penyeludupan rokok ke dalam negara.

Apakah tindakan terbaik oleh kerajaan bagi kebaikan kira-kira 3.8 juta perokok di negara kita ini?